Breaking News
Loading...
Wednesday, December 2, 2015

Info Post
Siapa yang mampu melawan takdir dan janji Allah SWT kepada setiap hamba-Nya yang bernyawa, yang hidup pasti akan mati.
Malam kelmarin, dunia hiburan dikejutkan dengan pemergian pelawak popular, Allahyarham Yussry Edoo, 39, atau lebih dikenali dengan nama Pak Yus Jambu yang meninggal dunia akibat serangan jantung di Hospital Selayang (HS) jam 12 tengah malam.
Tiada siapa juga menyangka program final Raja Band di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur malam kelmarin adalah pentas akhir Yus membuat persembahan.
Dalam program anjuran Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu, Yus bersama kumpulan muziknya, Lima Bara tampil sebagai artis jemputan dan menyanyikan tiga lagu.
Pemain dram Lima Bara, Norazhar Buyong atau Pak Cu berkata, ketika membuat persembahan Yus yang juga penyanyi kumpulan itu agak agresif.
“Dia melompat-lompat dan sesekali dia duduk di atas ‘bass drum’ di depan saya. Sebaik persembahan selesai, Yus hilang dan kemudian saya dapati dia sudah berada dalam kereta.
“Ketika itu dia duduk bersandar tanpa berbaju. Dia kelihatan penat, tetapi tetap bersembang dengan kami seperti biasa,” kata Pak Cu yang juga anggota kumpulan XN3 dalam program Maharaja Lawak pada 2011.
Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan pulang Yus tiba-tiba mengalami sesak nafas dan pengsan. Turut berada dalam kereta berkenaan ialah dua bekas peserta Maharaja Lawak iaitu Jon daripada kumpulan Ekzos dan Mie (kumpulan Shake).
Yus yang dikejarkan ke HS bagaimanapun disahkan meninggal dunia setengah jam kemudian.
Difahamkan, Yus menghidap kencing manis dan darah tinggi selain turut mengalami masalah jantung.
Dalam satu temu bual bersama media tidak berapa lama dulu, Yus yang masih bujang pernah mendedahkan dia terkejut apabila doktor mengesahkan dia mengalami masalah jantung dan kolesterol terlalu tinggi.
Selain itu, Yus juga pernah memaklumkan dia sudah bertunang dan bakal melangsungkan perkahwinannya tahun depan, namun tidak pernah mendedahkan siapa tunangnya.

0 comments:

Post a Comment