WALES – Tindakan gopoh seorang pencuri yang tertinggal telefon ketika memecah masuk sebuah rumah di Tonnypandy, Rhondda di sini, membawa padah apabila dia dimalukan di laman sosial Facebook oleh pemilik rumah tersebut, baru-baru ini.
Menurut laman web mirror.co.uk, kejadian itu berlaku selepas pemilik rumah tersebut menemukan sebuah telefon bimbit milik pencuri berkenaan yang tertinggal di atas rak di rumahnya.
Terdahulu, mangsa berang selepas menyedari sebuah basikal baharunya yang diletakkan di dalam bangsal di rumahnya hilang bersama beberapa barangan lain.
“Awak sebenarnya tertinggal telefon bimbit di rumah saya dalam keadaan aplikasi masih terbuka. Awak seorang yang bodoh.
“Saya bukan sahaja memiliki telefon dan semua gambar-gambar di dalam telefon awak, tetapi saya juga telah bercakap dengan ayah dan bapa saudara awak,” tulisnya dalam status yang dimuat naik di Facebook milik pencuri berkenaan.
Pemilik rumah berkenaan turut memberi amaran kepada suspek supaya memulangkan semua barangannya yang dicuri sebelum pukul 9 pagi keesokan harinya.
Status yang dimuat naik oleh pemilik rumah itu dikongsi lebih 16,000 kali dan pencuri berkenaan dipercayai memulangkan balik semua barangan yang dicuri dan mengaku menyesal dengan perbuatannya.
0 comments:
Post a Comment